Gerun tengok pisau tok mudin
'SAYA lihat seorang budak yang tidak mahu masuk jawi lari lintang pukang keliling kampung sampai ke sawah. Masa itu, berlakulah insiden kejar mengejar. Lucu betul apabila mengenangkannya," kata Mohd. Hasmi Marsani, 39, mengimbau kembali nostalgia lampau tiga dekad lalu pada hari dia dikhatankan di kampung. Pada hari tersebut, empat kanak-kanak lain turut dikhatankan bersamanya.
"Bagi saya, kanak-kanak zaman sekarang bertuah sebab mereka diberi ubat bius sebelum berkhatan. Kami dulu...tahan saja sakitnya apabila disunatkan oleh tok mudin," ujarnya seraya memandang ke arah anaknya, Mohamad Izzat, 9, yang sedang menunggu giliran untuk berkhatan dalam program berkhatan beramai-ramai, Sunathon di Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur baru-baru ini. Walaupun anaknya bakal berdepan dengan detik-detik berkhatan yang tidak sesukar yang pernah dilaluinya, namun ada juga riak risau yang terpancar pada wajahnya.
Apapun, berkhatan, bersunat atau dipanggil juga 'masuk jawi', merupakan satu perkara yang perlu dilalui oleh setiap individu Muslim. Pembedahan kecil membuang kulit yang menutupi alat sulit lelaki perlu dilalui oleh setiap lelaki Muslim bagi menjamin kesucian daripada sisa najis apabila menunaikan ibadat. Ternyata Islam begitu mendidik umatnya tentang kepentingan nilai bersih dan suci.
Seperti mana zaman yang berubah, begitu juga kaedah berkhatan yang dipraktikkan. Mungkin kita telah kehilangan elemen tradisi, namun adalah sesuatu yang hampir mustahil untuk kita menafikan putaran waktu.
|
|
Membuka lipatan silam, Mohd. Padzil Hashim,58, bercerita, berkhatan zaman dahulu memang meriah.
Menurutnya, pada zaman dahulu, apabila ada orang hendak berkhatan, satu kampung akan meraikannya. Mereka yang ada kerbau, lembu atau kambing akan menumbangkannya untuk dijadikan lauk kenduri.
"Sekarang meriah juga. Tetapi yang nampak meriah hanyalah kehadiran keluarga-keluarga orang yang nak bersunat. Orang-orang sekeliling tidak ikut serta meraikannya," kata Mohd. Padzil yang ketika ditemui Kosmo! sedang asyik berbual dengan rakannya, Aziz Md. Zin,54.
Cerita Mohd. Padzil lagi, orang dulu-dulu memang takut hendak bersunat. Selain masalah kewangan, faktor takut jugalah yang membuatkan kanak-kanak zaman dahulu lambat bersunat. Orang dahulu bersunat apabila hendak masuk awal remaja, jarang sekali semuda usia enam atau tujuh tahun seperti sekarang.
"Takut itu, satu hal. Yang menakut-nakutkan pun satu hal lain. Kalau nak tahu, kanak-kanak yang mahu bersunat akan ditakutkan oleh orang dewasa yang sudah bersunat. Ada ke mereka bergurau dan berkata, tok mudin guna kapak buruk dan gergaji untuk menyunat budak!" kata Mohd. Padzil.
|
|
"Lagipun, kami sebenarnya bukanlah takut tengok tok mudin. Tetapi, tengok pisau yang dipegangnya! Bila dia asah pisau depan mata, kecut perut dibuatnya!" tambah Aziz memecah derai tawa kedua-duanya.
Kata Aziz lagi, bersunat zaman dulu, memang payah dan menyakitkan. Banyak perlu jaga pantang. Tidak boleh banyak minum air, tak boleh makan telur, tidak boleh banyak bergerak untuk mengelak pendarahan yang teruk dan macam-macam lagi.
"Bukanlah pantang itu wajib tetapi, kalau hendak cepat sembuh luka dan tidak mahu berlaku pendarahan, baiklah patuhi pantang. Tetapi kanak-kanak sekarang...lepas berkhatan, terus boleh berjalan. Kami dulu, terlantar di pembaringan sahaja dengan kain terikat seperti buaian. Maklumlah kalau 'benda itu' kena kain... ngilu," katanya sambil menerangkan berkhatan zaman dahulu paling kurang memerlukanseminggu untuk sembuh.
Jami Mohd. Ali,62, pula bercerita tentang adat berkhatan tradisional yang diamalkan pada zaman dahulu di Bukit Gantang, Perak.
Katanya, pada zaman dahulu, mereka berendam di dalam sungai atau parit sebelum dikhatankan. Kemudian, anak-anak ini akan duduk di atas bahu bapa atau sesiapa yang berkenaan untuk diarak ke tempat berkhatan.
|
|
Di tempat itu, sebatang pokok pisang sudah sedia menunggu. Anak-anak ini akan melangkah batang pisang itu sebanyak tiga kali. Selesai melangkah, barulah anak-anak ini duduk di atas batang pisang tadi untuk disunatkan.
"Memang ada yang cuba lari, tetapi lepas melihat dan merenung wajah tok mudin, ia biasanya menenangkan," katanya.
"Apabila hendak dikhatankan, tok mudin ambil penyepit khas dan sepit bahagian kulup kemaluan. Selepas itu, tok mudin akan potong bahagian itu dengan pisau. Kemudian, tok mudin letak iodin dan balut kemaluan anak-anak ini dengan kain. Apabila selesai, kapur sirih akan di sapu di bahagian pergelangan kaki untuk mencegah kehadiran tungau, sejenis hama yang menggatalkan," ujarnya sambil memberitahu mereka juga dikenakan pantang 'jangan terpijak tahi ayam'.
"Mungkin itu, caranya orang tua-tua mahu mengelak kami keluar dari rumah dalam tempoh bersunat," ujarnya sambil memberitahu hanya dengan bacaan doa-doa, tok mudin mampu melakukan tugasannya dengan lancar. Bahkan dia mendakwa tok mudin hanya memicit kaki individu yang hendak disunat seketika untuk menyelesaikan masalah kemaluan yang diistilahkan 'buta'.
Harun Sudin, 72, yang arwah bapanya merupakan tok mudin di Kuala Selangor pada satu ketika dahulu mengakui bukan semua orang mampu melakukan tugas tersebut.
"Tok mudin, seorang yang disegani dan dikenali oleh semua orang. Biasanya, mereka kuat agama dan berani.
|
|
"Ayah saya simpan alat-alat khas untuk bersunat di satu tempat dan tidak digunakan untuk tujuan lain. Berkhatan perlu dilakukan dengan pisau yang betul-betul tajam," katanya sambil memberitahu bapanya sentiasa sibuk dan pergi ke merata tempat sehingga ke Tanjung Karang untuk mengkhatankan orang terutama pada musim cuti sekolah.
"Bila dia balik ke rumah, dia akan bawa balik banyak pulut-pulut kuning yang biasa disajikan dalam kenduri orang berkhatan," ujarnya.
Bagaimanapun, kata Harun, kemahiran yang dimiliki arwah bapanya bukanlah sesuatu yang diwarisi keluarga.
"Ayah saya belajar dengan seorang tok mudin pada zamannya dan ayah saya tidak mewariskan kemahiran itu kepada anak-anaknya kerana tiada antara kami yang berani memikul tugas tersebut," ujarnya.
Masa berlalu. Kira-kira penghujung tahun 1980-an, berkhatan di klinik mula mengambil tempat. Ramai yang memilih untuk berkhatan di klinik dengan penggunaan ubat bius dan suntikan.
Tiada lagi gurauan nakal yang menakut-nakutkan, melainkan kata-kata yang meredakan ketakutan seperti 'sakitnya macam kena gigit semut'.
Kini, teknologi semakin canggih. Tanpa jahitan, tiada atau kurang pendarahan, tanpa balutan dan tanpa pantang, kaedah berkhatan menggunakan peralatan plastik pakai buang seperti produk Sunathrone yang digunapakai dalam program Sunathon ini memudahkan kerja.
"Bila sembuh, kalau tiub cincin ni tak tanggal sendiri, datang jumpa doktor. Doktor boleh cabutkannya," kata pencipta kaedah berkhatan ini, Dr. Mohd. Tasron Surat kepada seorang kanak-kanak yang selesai dikhatankan dalam tempoh lima minit pada Ahad lalu.
|
|
"Cuma sakit sikit sahaja," kata kanak-kanak itu, Mohd. Yuzamri Mohd. Yasin sambil cuba tersenyum saat diajukan tentang perasaannya dikhatankan. Dia merupakan salah seorang daripada 300 kanak-kanak yang menyertai program Sunathon anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Namun, teknologi belum dapat mengubah perasaan manusia. Mereka yang penakut tetap berasa takut. Tangisan dan teriakan masih kedengaran dalam program Sunathon itu. Teknologi berkhatan secanggih mana pun masih dilihat oleh sesetengah kanak-kanak seperti pisau tajam tok mudin!
7 comments:
dulu bro sunat ini macam kaaa.... errr tu gambar zaman dedulu ka jejejeje
mane ade tun..pic tu current zaman internet.... masih pakai cepit rendam batang pisang n sembilu buluh lg oooooooooo
huhuuhuhuhuh..gegel kepala lutut kang abgebst..ejejejeeje
lama tak update blog nihh...
tak baik lagi ker luka sunat tu abgbest?????
Hahah ... ni mase ko disunat ke menyunat? ... hahaha .... kalau menyunat .. leh aa ehem register same ... kate owam.. sunat kali kedua leh kawin dua kali kan3?...
hauhauhaua mau suhat 2x ka?
lama tak melawat melaka ni..
Pakai Glasses??
Azam 2010, Boleh Capai Ke??
Post a Comment