Friday, March 13, 2020

BAS Mini KL

🇲🇾🇲🇾Perkhidmatan Bas Mini Kuala Lumpur atau Bas Mini merupakan antara pengangkutan bas awam tertua dan paling popular di Malaysia, merangkumi kawasan Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Bas-bas berkenaan dicat dengan warna asas merah jambu berserta jalur putih pada bahagian tepi, serta mempunyai muatan sekitar 20-30 penumpang, berikutan saiznya yang kecil. Bas kerkenaan beroperasi berasaskan sistem komisen, dengan pengusaha perkhidmatan dibayar mengikut jumlah kutipan tambang.

Perkhidmatan bas mini dihentikan mulai 1 Julai 1998 serta digantikan dengan perkhidmatan bas Intrakota dan kemudiannya, Bas rapidKL pada tahun 2005.

Perkhidmatan bas mini bermula pada 23 September 1975 di bawah Kementerian Pengangkutan. Pada masa itu, bas mini beroperasi pada pelbagai laluan mengikut warna bas masing-masing (biru-putih, kuning-putih, merah-putih, ungu-putih dan hijau tua-putih).

Bas mini berkenaan bertanggungjawab mengendalikan sehingga hampir enam puluh laluan berbeza. Tiga syarikat utama (Syarikat Kerjasama Pengaman (M) Bhd, Bas Mini Wilayah dan Konsortium Pengusaha Bas Mini Sdn Bhd) memonopoli kebanyakan laluan bas sementara pengusaha yang lebih kecil dibenarkan beroperasi di tempat tertentu sahaja.

Pada tahun 1975, semasa bas mini diperkenalkan sebagai satu bentuk perkhidmatan, tambang bas asalnya cuma 40 sen. Kemudian pada tahun 1991, tambang dinaikkan ke 50 sen dan dua tahun kemudian, tambang dinaikkan lagi kepada 60 sen. Bas mini tidak mempunyai jadual waktu tetap.

Sebaliknya, perkhidmatan dijalankan berasaskan komisen di mana pengusaha dibayar mengikut bilangan trip serta kutipan tambang dalam sehari. Kadang-kadang, untuk bersaing dengan pengusaha lawan, pemandu mungkin akan melencong daripada laluan asal sehingga menyusahkan penumpang.

Pada tahun 1990, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Paduka Rahmah Osman, menetapkan warna piawai bas mini kepada "merah jambu" dan putih. Pada 1 Julai 1998, perkhidmatan bas mini dihentikan di bandar raya Kuala Lumpur.

🇲🇾🇲🇾MASUK, masuk, masuk... dalam lagi! Penuhkan belakang. Yang belakang tu masuklah dalam lagi... boleh lagi tu... orang lain pun nak naik juga! �Lebuh Ampang... Lebuh Ampang... Bangkok Bank... Bangkok Bank... Chow Kit.. Chow Kit...�

Masihkah anda ingat dengan dialog seperti di atas? Bagi warga kota yang membesar sekitar tahun 1970-an hingga 1998 pasti sudah masak dengan ‘skrip rasmi’ yang menjadi laungan konduktor-konduktor bas mini.

Bas mini, satu nama yang tidak memerlukan banyak pengenalan. Bercakap mengenainya pun sudah boleh membuatkan generasi pengguna perkhidmatan bas awam tertua dan popular di Malaysia itu tersenyum hingga ke telinga.
Memandu melebihi had laju, berhenti mengambil penumpang di mana-mana sahaja, langgar lampu isyarat, memotong ke kiri dan kanan sampai penumpang dalam bas melambung-lambung seperti menaiki roller-coaster.

Senang cerita, bas mini memang luar biasa pantas berbanding bas-bas lain. Keistimewaan tersebut sudah cukup membuktikan betapa bas kecil berwarna piawai merah jambu-putih itu gah sebagai ‘raja jalanan’.

Paling menyeronokkan, jika bas yang dinaiki tersekat dalam kesesakan jalan raya. Apa tidaknya, di saat lalu-lintas tidak bergerak, pemandu bas mini berlumba-lumba mempamerkan kecekapan serta ketangkasan masing-masing dalam memotong dan ‘mencilok’ kereta di sana sini sampaikan ada yang berani naik ke atas penghadang jalan.

Biarpun hampir setiap masa terpaksa berhimpit-himpit seperti ikan sardin, hakikatnya bas mini yang mengenakan tambang tetap sebanyak 60 sen sentiasa menjadi pilihan utama orang ramai untuk ke tempat kerja, sekolah mahupun ketika bersiar-siar.

Namun, bas yang satu ketika dahulu menjadi identiti dan nadi pengangkutan awam di ibu negara, hanya tinggal kenangan apabila perkhidmatannya ditamatkan pada 1 Julai 1998.

Perkhidmatan bas mini yang berkeliaran secara bersimpang siur di ibu kota telah ditukar dengan perkhidmatan yang lebih berdisiplin oleh bas Intrakota dan kemudian RapidKL (2005).